Aku dibesarkan di dalam Tanah Rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan @ Felda. Agak pendalaman lokalitinya iaitu Felda Kemasul, Gugusan Mendi, dalam "jajahan" Dun Pelangai dan Parlimen Bentong, Pahang.
Sejak dari bangku sekolah rendah, aku cukup kenal beberapa orang YB iaitu Tok Nan @ Adun Pelangai dan Lim Ah Lek & Leow Tong Lai @ MP Bentong. Jika mereka "turun", 1 felda kemasul "kalut" terutamanya "orang dacing". Sampai sekarang lepas PRU lepas, Tok Nan @ Mantan MB Pahang terus "berstatuskan" YB Dun Pelangai, namun YB bagi MP Bentong "beralih angin" kepada YB Wong Tuck. Buat masa ini aku tidak mahu ulas lagi perihal mereka.
Cuma aku tertarik dengan "tugasan" seorang YB. Terfikir juga, kenapa ramai sangat nak jadi YB !! sampai sanggup "meredah lautan api" demi mengidam title YB. Kenapa juga ada YB "tua" @ senior masih "terus mahu terus manabur bakti" tanpa memberi "laluan" kepada bakal2 YB "baru" yang sudah lama "mengintai" kerusi YB. Namun, usia bukan ukuran, selagi mampu memikul "amanah", berkelayakan, berkemahiran & berintegriti.
Namun, bila sudah bergelar YB, awasilah tingkahmu, kamu bukan sahaja YANG BERHORMAT, kamu harus berperanan sebagai YANG BERKHIDMAT, kejarlah YANG BERKAT, Terjemahkan tugasmu sebagai YANG BIJAKSANA, tonjolkan pekertimu sebagai YANG BERINTEGRITI dan YANG BERIMAN.
Bila "kepakmu" mekar mengembang, bisa terbang di puncak langit meninggi, usah "geli" dan "hina" lumpur di bumi. Bila "anugerah" penuh tersemat di dada, usah bongkak lupa diri, bila kuasa dalam "genggam" usah hilang santun dan resam.
Buat semua YANG BERHORMAT, kamu terpilih menjadi insan hebat, laksanakan tugas dengan hemat, ujian kamu pasti dasyat, jika amanah kamu selamat, jika khianat kamu tunggu akibat.