Tahun masihi 2018 telah berlabuh dan sauh bahtera tahun 2019 baru diangkat sebagai tanda pelayaran tahun masihi yang baru telah bermula. Aku cuba mengimbau rencana dan perjalanan tahun 2018 yang cukup mencabar, penuh debar, likunya berlingkar dan durinya meliar. Tahun 2018, kesihatan Ayahda kami Hj Ab Karim B. Ahmad merosot, ada pasang surut, namun belum penuh sembuhnya, moga ALLAH memberi kesembuhan penuh kepada Ayahda kami, Inn Shaa Allah. Tahun 2018 juga tahun yang cukup getir di kantorku, bahangnya masih belum reda, aku berharapkan sirna cahaya di tahun 2019.
Coretan kali ini aku lebih tertarik kepada angka 40 kerana tahun 2019, secara rasminya usiaku dalam masihi telah berganjak ke tahun 40. Jika usia Nabi Muhammad SAW dijadi kayu pengukur, Baginda wafat pada usia 63 tahun, maknanya 2/3 daripada kehidupan usia telah aku lalui, cuma sisa hanya 1/3 sahaja. Ya ALLAH aku tidak sedar, alpa nya aku, lekanya aku.
Terngiang kata Ustaz yg acap kali dilontar, ada Hadis berbunyi yang maksudnya , " sesiapa yang usia 40 tahun, tetapi keburukannya melebihi kebaikannya, maka bersiap sedialah dia untuk neraka ". ALLLAHU AKBAR, cukupkah amalan ? adakah baik kita melebihi yang buruk ? Kemanakah haluan kita... kiri kah atau kanan ?
Kata orang, pada usia 40 dan ke atas, kita makin matang, stabil dan berilmu. Benarkah kita di posisi itu? Aduh... masih jauh dari skala. Kata orang juga, melangkah usia 40, kesihatan perlu dijaga, pemakanan perlu dikawal, gaya hidup sihat perlu diamal.
Bila masuk tahun baru masihi, pasti ramai yang mensasarkan "Azam". Teringat kata pujagga "kegilaan ialah melakukan perkara yang sama berulang-ulang, tetapi mengharapkan pencapaian yang lebih baik ". Itulah kita... sering berazam namun kaki masih berlumpur tanpa usaha. Akhirnya azam tinggal azam dan terus berazam saban tahun.
Yang pentingnya, ayuh kita ubah, biar lewat daripada tiada progress. Secara jujur kita jawab soalan ini :-
1. Apa perbuatan baru yang kita perlu lakukan ?
2. Apa perbuatan lama yang kita perlu hentikan ?
3. Apa perbuatan lama yang kita perlu tingkatkan ?
4. Apa perbuatan lama yang kita perlu kurangkan ?.
Jujurnya aku perlu muhasabah dan mengenalpasti serta mencari jawapan kepada soalan ini bagi pastikan "azam 2019" tidak sekadar azam seperti tahun-tahun sebelumnya.
Setelah berstatus kan golongan 40 an, aku perlu menjadi Hamba Allah yang kuat Iman, anak yang soleh, suami yang baik, bapa yang bertanggungjawab/ penyayang, pekerja yang cemerlag, warganegara@ ahli masyarkat yang berhemah dan berhikmah.
Ya ALLAH bantulah hamba MU ini, Ameen.