Sunday, 25 October 2020

APA

Apa Yang Dikejar ?
Makin Mengejar, Makin Mengundur,
Awalnya Memecut,  Kemudiannya Kendur,
Sirna Cahayanya, Bersurut Kabur.

Apa Yang Dicari ?
Manusia Mencari Dan Terus Mencari,
Lepas Peroleh, Mencari Lagi,
Dari Hijau Hingga Mati.

Apa Yang Diimpi ?
Siang Berimpi, Malam Bermimpi,
Berangan itu nilainya Free,
Tiada Usaha, Kekallah Bermimpi.

Apa Yang Dikejar, Dicari, Diimpi,
Betulkan Niat Di Dalam Hati,
Aturkan Langkah Tindak Suci,
Luruskan Gerak Penuh Integriti.

Kita Mudah Memberi Kritik,
Sedang Hati Tegar Individualistik,
Mengejar Dunia Penuh Materialistik,
Kekadang Berpura, Wajah Plastik.

Nilai Moral Diniaga Kini,
Dijadi Modal Tonjol Diri,
Lidah Bergegar Sana Sini,
Sedang Niat Tiada Di Hati.

Sukarkah Kini Mencari Erti,
Kita Berlari, Tuju Destinasi,
Kita Mencari, Nilai Suci,
Kita Usaha, Selagi Di Sini. 













Tuesday, 13 October 2020

TERSANGKAR

Apa maknanya ini
Pandemik melebarluas 
Manusia menjadi buas
Mungkin mahu mengekal puas.

Apa maknanya ini
Bagai burung belaan
Sayap dikembang bukaan
Tapi tersangkar dalam tambatan.

Apa maknanya ini
Pujian bagi yang pertahan
Cacian untuk si lawan
Sedang kami melihat tontonan.

Apa maknanya ini
Termengah tanpa berlari
Tersadung kaki sendiri
Mencari siapa suci.

Apa maknanya ini
Tersangkar atau menyangkar
Langkah keliru jua mencabar
Berapa harga nilai sabar. 

Apa maknanya ini
Tahu bercampur keliru
Keliru makin celaru
Kami terus haru.

Monday, 6 July 2020

Hari Peneroka Felda 2020

Tarikh keramat 7hb Julai adalah Hari Peneroka Felda. Tema tahun ini Peneroka Perintis, Berani & Suka Cabaran.

Aku adalah Generasi Felda Ke 2 & 3. Arwah Abah Hj Ab Karim Ahmad adalah Peneroka Tanah Rancangan Felda Kemasul, Triang, Pahang. Arwah Atok Hj Ishak Tammat (Ayah kepada Emak) adalah Peneroka Tanah Rancangan Felda Sungai Behrang, Slim River, Perak. Pastinya Felda cukup dekat di hati sanubari aku.

Arwah Abah mula bergelar Peneroka Felda sejak 1980. Abah merantau dari Kedah, hijrah ke Perak, berkahwin dgn Emak di Perak dan hijrah ke Felda Kemasul di Pahang. Arwah pernah bagi tau, dia hijrah kerana mau ubah kehidupan kerana kami tergolong dalam kelompok orang "susah" pada masa itu. Pernah juga "dihina" kerana "dianggap susah".

Kehidupan kami di felda pada tahun 80 an & 90 an cukup sederhana. Jalan masih tanah merah, rambut pun berdebu merah heheheh. Kami mandi air paya di belakang rumah, bila kemarau badan pun bau selut. Baju sekolah dari putih bertukar menjadi oren. Bila musim hujan, kami tadah air hujan untuk kegunaan harian. Tahun 80 an pada malam hari, kami diterangi cahaya bulan & pelita. Kenangan pam lampu butterfly masa Maghrib jika diimbau, mampu buat aku senyum sendiri.

Arwah Abah memang rajin dan kuat bekerja. Disamping kerja hakiki sebagai Peneroka, abah pernah buat kerja tambahan, abah pernah buka kedai, jual ikan dan barang runcit. Pernah abah mencapai "masa gemilang" sebagai peniaga kecil, namun akhirnya perniagaan kami "merudum" hingga "rebah". Namun, pengalaman sebagai "peniaga" masih segar dalam hati. 

Abah juga mengambil upah menoreh getah, memang tugas aku mengambil upah kutip "getah buku @ scrap" setiap hujung minggu. Tangan aku sudah biasa melekat bau getah buku.

Aku juga biasa kutip biji lerai sawit @ loose fruit. Masa itu 1 karung beg baja yang dipenuhkan dengan loose fruit akan dijual dengan kadar RM3. Rasa nak patah pinggang.

Kini semua tinggal memori. Abah sudah tiada, emak buat sementara bersama anak2 di bandaraya. Jika difikir, sedih juga. Tapi pasti ada hikmahnya. Semangat Felda masih kuat dalam jiwa aku.

Mana mungkin kita lupa akan asal usul, tempat jatuh bangun, tempat bermain, berkawan, belajar & diasuh. Terima Kasih Arwah Abah & Emak kerana memilih "Felda" untuk hijrah. Terima Kasih Felda kerana menyediakan "platform" ini. Terima Kasih buat warga Felda Kemasul yang memberikan aku "erti kehidupan". Memang benarlah, Peneroka Felda adalah Perintis, Berani & Suka Cabaran.

Terima Kasih FELDA @ LKTP. 
Al Fatihah Buat Arwah Ab Karim Ahmad. 




Tuesday, 30 June 2020

Separuh Masa Ke 2

Hari ini 1Hb Julai 2020, Ini Bermakna Kita Telah Memasuki Separuh Masa Kedua Di Tahun 2020. Jika Kita Ada Menanam Azam Dan Iltizam Pada 1Hb Januari Yang Lalu, Adakakah Kita Telah Menilai Tahap Pencapaiannya ? Berapa Peratus Kejayaannya ? Adakah Seiring Dengan Sasaran? Jika Ya, Alhamdulillah, Teruskan Langkah Seperti Yang Direncana, Namun Harus Menilai Semula Jika Ada Keperluan Menambahbaik Strategi, Perancangan & Gerak Kerja. Namun, Jika Jawapannya TIDAK Seperti Yang Disasar, Ayuh Segera Meyusun Kembali Perancangan, Target, Strategi & Gerak Kerja. Mulakan Semula.....

Dalam Keadaan Semasa Terkesan Daripada Pendemik Covid-19, Semua Aspek Perlu Di Nilai Semula. Usah Berasa Selesa Kerana Situasi Sekarang Dan Akan Datang Bukan Lagi Seperti Sebelumnya. Namapun "KEBIASAAN BARU" , Apa Guna "BAJU BARU" Jika Strategi, Perancangan, Gerak Kerja & Target Masih "TIDAK BERUBAH". Namun, Bukanlah Bermaksud Yang Terdahulu Itu Buruk, Nilaikan, Yang Baik Kita Kekalkan, Malahan Kita Tambahbaik, Yang Kurang Baik, Kita Lipat Gandakan Menjadi Terbaik. 

Celoteh Ini Sekadar Renungan & Fikir2an Buat Kita Bersama. 

Monday, 15 June 2020

Data Statistik Kadar Pengangguran

Jabatan Perangkaan Melaysia memberikan data kadar pengangguran sehingga April 2020 adalah 5% iaitu 778,800 orang. Kadar pengangguran tersebut adalah tertinggi dalam tempoh 30 tahun sejak 1990!!!!

Ketua Statistik Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh Malaysia pada Mei dijangka akan terjejas lebih lanjut, berikutan pelaksanaan PKPB mulai 5 Mei, kerana perniagaan masih belum beroperasi sepenuhnya. Dijangkakan data kadar pengangguran akan berkisar antara 5% hingga 6% pada Mei 2020 !!!!

Data ini cukup menggerunkan buat mereka yang berstatuskan "pekerja". Kemelesetan ini adalah bersifat global yang terkesan daripada pendemik Covid-19.

Ayuh mari kita bersama memohon doa, moga Allah membuka jalan untuk mengatasi virus ini dan seterusnya ekonomi global kembali pulih. Buat mereka yang bergelar "penganggur" moga tabah n berikhtiar mencari solusi mencari rezeki halal. Buat mereka yang "bakal menganggur", moga cekal dengan ujian berat ini, moga "rezeki" kalian dipermudahkan.

Buat mereka yang masih punya "kerja" & "majikan". Pertamanya Bersyukurlah. Kedua, jaga kerja sebaik mungkin & laksanakan tugas serta amanah kerja dengan cemerlang, produktif, berkualiti, berintegriti, efficient & berusaha meningkatkan keupayaan diri. 

Akhir kalam, ujian mendatang makin mencabar, adakah masih berasa selesa ? Adakah berasa punya immunity kebal? Tepuk dada, tanya hati!!!




Tuesday, 5 May 2020

Norma Baru Pekerjaan

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesan daripada penularan Covid-19, ada beberapa aspek pekerjaan yang sedang dan akan mengalami perubahan? Suka atau tidak, sedia atau tidak, mahu atau tidak, perubahan norma kebiasaan dalam pekerjaan pasti berubah !!! Bersediakah kita ????

Norma baru yang sering didendang sekarang adalah Kerja Dari Rumah (WFH). Jika kita perhatikan pada ucapan Perutusan Khas PM sejak pengikstiharan PKP Fasa 1 lagi yang bermula pada 18hb Mac 2020, konsep WFH sering di ulang-ulang. Bagi warga kerja sektor awam dan swasta yang menerima pakej emolumen tetap secara bulanan, sepanjang tempoh PKP perlu melaksanakan amanah tugasan secara WFH tanpa perlu hadir ke premis tempat kerja. 

Tidak dinafikan, bukan semua jenis pekerjaan boleh dilaksanakan melalui WFH. Namun, bagi jenis pekerjaan di kantor pejabat, WFH sepatutnya tidak menjadi masalah.

Budaya dan norma baru pekerjaan melalui WFH memerlukan perkakasan dan kemudahan tertentu seperti komputer, sistem dan perisian tertentu, rangkaian internet, rekod dokumen secara e-filling dan banyak lagi. 

Sekali lagi, bersediakah kita ???

Apa tindakan segera yang perlu majikan fikirkan :-
1. Mengenalpasti jenis pekerjaan yang sesuai untuk WFH. 
2. Adakah kelengkapan kemudahan seperti komputer, tablets, sistem perisian, rangkaian internet mencukupi ?
3. Adakah aspek data security terjamin ? Apa langkah untuk memperketatkannya ?
4. Adakah JD dan skop kerja perlu dikaji semula ? Adakah proses kerja perlu diubah ?
5. Bagaimana sistem monitoring anggota ?
6. Yang lebih penting, hasil kerja ! kualiti kerja ! hasil dan kualiti kerja menepati kehendak supervisor, superior, Management, BOD. 
7. Aspek yang cukup sensitif, adakah bilangan anggota dan nisbah sedia ada memadai ? Mungkin selama ini, ada lebihan anggota, mungkin juga ada perjawatan yang "tidak perlu" atau memerluan kajian samula skop kerja ? Mungkin ada beberapa jenis pekerjaan yang melebihi kapasiti kerana terpaksa "memikul passengers" yang hakikatnya "tidak berperanan". 
8. Mampukah lagi majikan menggaji anggotanya seperti sebelumnya ?

Buat kita sebagai warga kerja, jika PKP ini tempohnya lebih panjang, walaupun kerajaan membenarkan pengoperasian semula dibuka, namun kehadiran perlu minimum. Budaya WFH akan diperluaskan. Bersediakah kita ? 

Jika muhasabah diri, ambil kira dalam tempoh PKP ini, apakah penglibatan kita kepada majikan ? Adakah kita kekal melaksanakan tugasan dan amanah kerja secara WFH ? Adakah kita sekadar menjadi "penonton jarak jauh" ? Jika jawapannya Ya, sampai bila perlu teruskan "rasa selesa" !!!!


Monday, 13 April 2020

Cukupkah Simpanan Dan Tabungan Kita ???

Satu kajian telah dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia secara online pada 18hb hingga 31hb Mac dengan 168,182 responden seluruh negara untuk menilai kesan Covid-19. Kakitangan awam dikecualikan daripada analisis.

Apa yang menarik perhatian aku adalah berkaitan data kesiapsiagaan simpanan kewangan rakyat Malaysia untuk menghadapi kesan Covid-19. 

a. 71.4 % rakyat yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi kurang daripada 1 bulan susulan kesan daripada Covid-19.

b. 77.2 % majikan dan 82.7 % pekerja swasta hanya mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga dua bulan.

c. 78.9 % pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 75.2 % pekerja syarikat multinasional (MNC) mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga 4 bulan.

d. 69.7 % yang telah bekerja dalam tempoh kurang 1 tahun dan 63.2 % yang bekerja dalam tempoh 1 hingga 3 tahun, masing-masing simpanan kewangannya hanya bertahan kurang daripada 1 bulan.

e. 25.4 % yang bekerja 4 hingga 10 tahun dan 27.5 peratus yang bekerja 11 hingga 20 tahun pula mempunyai simpanan yang mencukupi sehingga 2 bulan.

f. 11.4 % yang bekerja 21 hingga 30 tahun dan 11.7 % yang bekerja lebih daripada 30 tahun mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga 4 bulan.

Bukan hanya individu pekerja sahaja yang "tidak bersedia" dengan simpanan kewangan yang cukup, malahan, majikan pun hadapi situasi yang sama !!!. 

Hakikatnya kita terlalu bergantung dengan bebanan hutang !!!. Bukan hanya keliling pinggang sendiri, malahan sampai tumpang pinggang "orang sebelah"... Zaman sekarang kita beranggapan bahawa hutang adalah "keperluan", "kemestian" & "kebiasaan". Negara pun ada hutang, negeri pun berhutang, syarikat berhutang, organisasi berhutang, individu seperti kita pun sudah pasti banyak hutang !!!. Pilihan mahu pilih perbankan Islam atau konvensional tergantung pada diri sendiri, tepuk dada, tanya lah IMAN.

Berapa nisbah atau peratus atau bulan yang perlu ada dalam simpanan kewangan kita untuk bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan ? Berapa peratus dan nisbah maksimum hutang berbanding pendapatan ? Mungkin ada yang jawab 50%, 60% atau 100% !!!! 

Bentuk simpanan yang bagaimana ? Tunai atau bukan tunai seperti aset fizikal, emas fizikal, saham atau lain2. Carilah ilmu dengan mereka2 yang mahir, aku kurang mahir dalam hal ini. Pokok nya, belanja secara berhemah, uruskan hutang dengan bijaksana, buatlah simpanan dan tabungan untuk keperluan kecemasan.

Ingat yer, moratorium daripada bank hanya 6 bulan sahaja, mulai Oktober 2020, bayar hutang macam biasa, hutang tetap hutang, wajib dilunaskan. Orang yang arwah pun kena lunaskan hutang, inikan pula yang masih hidup. 

Dulu Arwah Abah pernah buatkan tabung buluh masa zaman sekolah kat kampung, ini langkah dan pendidikan awal secara tidak formal untuk buat tabungan dan simpanan. Simpan untuk kaya ke ? Tak lah, bulan nie simpan, bulan depan korek.... hahahaa. Fikir2 kan........




Sunday, 12 April 2020

Covid-19 & PKP

Seluruh dunia terkesan akibat daripada  wabak virus Covid-19. Ada yang beranggapan virus ini adalah satu malapetaka kepada seluruh dunia. Semua pihak dan sektor baik negara maju atau tidak, golongan bangsawan atau marhaein, pimpinan atau subordinat, kaya atau miskin, tua atau muda, apa pun jantina dan bangsa, semua punya risiko yang sama. Virus ini bisa terjangkit pada sesiapa. 

Khabarnya virus ini di 'import' dari Wuhan, China. Namun, ada juga teori terbaru ianya bermula di Eropah. Corona Virus ini dikenalpasti berlaku pada tahun 2019, sebab itu ianya dipanggil Covid-19. Di Malaysia, kes wabak ini mula diistiharkan pada 25hb Januari 2020 dengan 3 kes, makin meningkat kepada kumulatif kes sebanyak 4,530 kes sehingga 11hb April 2020. Kumulatif kes kematian adalah 73 kes @ 1.61% dengan jumlah kes yang sembuh cukup memberangsangkan iaitu 44.04%. Tahniah KKM.

Kluster terbesar adalah Kluster Tabligh yang hadir Perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada 27hb Februari hingga 1hb Mac 2020. Terdapat juga kluster sejarah perjalanan ke Italy, kluster perhimpunan gereja di Kuching, kluster kenduri di Bangi dan kluster di Rembau. 

Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah drastik dengan membuat tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) @ MCO bermula pada 18hb Mac hingga 31hb Mac 2020. PKP dilanjutkan sehingga 14hb April 2020, dan dilanjutkan lagi hingga 28hb April 2020 dengan tujuan untuk mengekang penularan rantaian wabak Covid-19.

Wabak ini telah memberi kesan yang cukup material kepada Malaysia dan dunia secara keseluruhanya. Saham di Bursa Malaysia menurun, nilai matawang RM lemah dan "peralihan kuasa" pemerintah juga berlaku dalam tempoh ini (saya bukan orang politik). Dalam tempoh PKP ini essential sectors yang penting dibenarkan beroperasi dalam kadar terkawal. Company aku yang terlibat dalam industri perladangan diberi pelepasan dan kelonggaran untuk beroperasi, namun Ibu Pejabat terpaksa "ditutup" dalam tempoh ini. Terima kasih kepada Kementerian, Kerajaan Negeri, MPOA, MAPA dan semua agensi yang terlibat. 

Kerajaan Persekutuan telah melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi bagi menjamin ekonomi domestic tidak terjejas teruk. Pakej Prihatin dilancar antaranya pengeluaran akaun 2 KWSP maksimum RM500 sebulan, pakej Perkeso, Subsidy Upah, moratorium pinjaman bank dan bnayak lagi pakej rangsangan. 

Antara bait kata yang trending sepanjang PKP adalah "Stay at Home", "Kita Jaga Kita", "lockdown", "air suam", "makcik Kiah", "Doraemon", "TikTok", "mewa" dan banyak lagi.

Individu yang cukup berkesan dan dinantikan kemunculannya adalah Ketua Pengarah KKM iaitu Dato Sri Dr Noor Hisham Abdullah, individu hebat yang berkaliber, competent, ada karisma dan yang lebih penting diyakini & dipercayai. Tahniah diucapkan kepada seluruh paramedics, nurse, kakitangan kesihatan, Anggota PDRM, ATM, JPJ, RELA, PBT, seluruh agensi kerajaan & swasta, NGO's dan seluruh warga Malaysia. 

Bila arahan PKP dibuat, rakyat dinasihatkan untuk berada di rumah dan meminimumkan pergerakan dan perhubungan sosial di luar. Buat mereka yang bergaji bulan di sektor awam dan sektor swasta (perusahaan yang kukuh kewangan) , PKP ini memberikan "lebihan masa" di rumah tanpa perlu hadir ke tempat kerja, tetapi "BERGAJI PENUH". Walaupun secara teorinya perlu "BEKERJA DI RUMAH" , namun berapa peratus sahaja yang benar2 productive bekerja dari rumah ? Atau total lockdown sekadar makan, makan, makan lagi, tidur, tidur, tidur lagi, tonton tv, tonton tv, tonton tv lagi, dan rehat, rehat, rehat lagi. Mungkin dalam hati berkata, bukan salah sesiapa, arahan PKP.

YA, betul, tidak semua yang "selesa" di rumah tanpa kerja, ada ramai juga yang kena bekerja dari rumah walaupun dalam tempoh PKP. TAHNIAH, kalian seorang yang bertanggungjawab. Adakah kita terfikir :-

1. Sampai bila majikan mampu bertahan untuk membayar "upah" walaupun tanpa hadir jika PKP terus disambung?

2. Adakah bilangan anggota @ pekerja sedia ada masih perlu ? Adakah ratio sedia ada perlu dikaji ?

3. Perlukah Job Description di review ? Baru kita tau, siapa yg bekerja dan siapa yg "ringan" tugasan dan tanggungjawab.

4. Adakah perlu ada mutual agreement antara majikan dan pekerja untuk cari kesepakatan untuk dibayar separuh gaji, unpaid leave, ambil annual leave ? 

5. Adakah majikan mula berkira2 buat retrenchment, vss ?

6. Adakah banyak syarikat akan gulung tikar kerana alami kerugian ?

7. Jika majikan mampu bertahan, adakah cara kerja perlu diubah ? Adakah cara manual dan konvensional masih sesuai ? Perlukan kaedah bersistem dengan teknologi di dalam kerja harian perlu diperhebatkan ? Adakah pekerja bersedia ? Adakah majikan mahu berubah ?

8. Sampai bila kerajaan sanggup subsidies banyak perkara ?

Kesan Wabak ini bukan dalam tempoh PKP sahaja, kesan jangka panjang dan tempoh sederhana pasti berlaku, jika kemelesetan tahun 1998 dulu kebanyakan hanya melibatkan negara Asia, tapi kemelesetan tahun 2020 ini terkesan seluruh dunia termasuk kuasa besar seperti US, China, Eropah, Jepun. Bersediakan kita ???

Mari kita memanjatkan doa kepada Allah, moga2 wabak virus ini dapat dicari solusinya dalam masa terdekat, ekonomi domestic dan dunia kembali pulih serta semua manusia kembali melaksanakan kehidupan harian dengan makmur. 

Dunia sudah cukup tua, dosa manusia sudah cukup melata, adakah ini Tanda-Tanda ? 


Monday, 27 January 2020

Hero Jadian

Ada Bermacam Jenis Hero
Hero Sejati Sukar Dicari
Makin pupus di muka bumi
Bijaksana sifat ciri peribadi
Pekerti mulia insan berbakti.

Hero Jadian sifatnya bermusim
Bicara lantang tunjuk alim
Bagai ilmunya tinggi bermukim
Hukum di bibir laksana hakim.

Bersepah hero jadian bagai cendawan
Tunjuk langkah laksana cendikiawan
Sedang Ilmu baru secawan
Gegak gempita bagai ke bulan.

Jika kail baru sejengkal
Usah ditayang perut yang gempal
Belum jenguk rasa dah mual
Elok jika dibuat sambal.

Jadilah hero bagai Zaaba
Menyalur idea bangkit bangsa
Hebat bicara kaya pena nya
Jasa mengalir hingga akhirnya.

Hero perlu persis Pak Sako
Anak Melayu Intelek sastera 
Karya pena penuh frasa
Tersirat makna Tersurat kata.

Hero perlu tinggi ilmunya
Punya aura memandu bangsa
Luhur pekerti jujur bicara
Bisa memimpin, terpimpin pun bisa.

Hero Jadian sifatnya berlawan
Akal kemudian, lidah ke depan
Melatah, merapu meraban-raban
Sekadar berkokok di dalam reban. 

Ayuh semua hero jadian
Tidak rugi buat kajian
Sumber sohih jadikan rujukan
Gentarkan neraka takut dihumban.