Monday, 6 July 2020

Hari Peneroka Felda 2020

Tarikh keramat 7hb Julai adalah Hari Peneroka Felda. Tema tahun ini Peneroka Perintis, Berani & Suka Cabaran.

Aku adalah Generasi Felda Ke 2 & 3. Arwah Abah Hj Ab Karim Ahmad adalah Peneroka Tanah Rancangan Felda Kemasul, Triang, Pahang. Arwah Atok Hj Ishak Tammat (Ayah kepada Emak) adalah Peneroka Tanah Rancangan Felda Sungai Behrang, Slim River, Perak. Pastinya Felda cukup dekat di hati sanubari aku.

Arwah Abah mula bergelar Peneroka Felda sejak 1980. Abah merantau dari Kedah, hijrah ke Perak, berkahwin dgn Emak di Perak dan hijrah ke Felda Kemasul di Pahang. Arwah pernah bagi tau, dia hijrah kerana mau ubah kehidupan kerana kami tergolong dalam kelompok orang "susah" pada masa itu. Pernah juga "dihina" kerana "dianggap susah".

Kehidupan kami di felda pada tahun 80 an & 90 an cukup sederhana. Jalan masih tanah merah, rambut pun berdebu merah heheheh. Kami mandi air paya di belakang rumah, bila kemarau badan pun bau selut. Baju sekolah dari putih bertukar menjadi oren. Bila musim hujan, kami tadah air hujan untuk kegunaan harian. Tahun 80 an pada malam hari, kami diterangi cahaya bulan & pelita. Kenangan pam lampu butterfly masa Maghrib jika diimbau, mampu buat aku senyum sendiri.

Arwah Abah memang rajin dan kuat bekerja. Disamping kerja hakiki sebagai Peneroka, abah pernah buat kerja tambahan, abah pernah buka kedai, jual ikan dan barang runcit. Pernah abah mencapai "masa gemilang" sebagai peniaga kecil, namun akhirnya perniagaan kami "merudum" hingga "rebah". Namun, pengalaman sebagai "peniaga" masih segar dalam hati. 

Abah juga mengambil upah menoreh getah, memang tugas aku mengambil upah kutip "getah buku @ scrap" setiap hujung minggu. Tangan aku sudah biasa melekat bau getah buku.

Aku juga biasa kutip biji lerai sawit @ loose fruit. Masa itu 1 karung beg baja yang dipenuhkan dengan loose fruit akan dijual dengan kadar RM3. Rasa nak patah pinggang.

Kini semua tinggal memori. Abah sudah tiada, emak buat sementara bersama anak2 di bandaraya. Jika difikir, sedih juga. Tapi pasti ada hikmahnya. Semangat Felda masih kuat dalam jiwa aku.

Mana mungkin kita lupa akan asal usul, tempat jatuh bangun, tempat bermain, berkawan, belajar & diasuh. Terima Kasih Arwah Abah & Emak kerana memilih "Felda" untuk hijrah. Terima Kasih Felda kerana menyediakan "platform" ini. Terima Kasih buat warga Felda Kemasul yang memberikan aku "erti kehidupan". Memang benarlah, Peneroka Felda adalah Perintis, Berani & Suka Cabaran.

Terima Kasih FELDA @ LKTP. 
Al Fatihah Buat Arwah Ab Karim Ahmad.