Tetiba terkenang kisah mandi paya di Felda Kemasul dulu-dulu. Sekitar tahun 1980an, bekalan air bersih di Tanah Rancangan Felda belum cukup sempurna lagi. Paip ada, tapi kalu dibuka bunyi angin sahaja yang keluar, airnya tiada.
Masa itu, sumber bekalan air utama adalah paya belakang rumah dan air hujan. Mandi air paya ada nikmatnya tersendiri. Bau selut melekat di badan, kadang2 tak sedar ada selut di rambut. Bila musim kemarau, bau selut lebih kuat menusuk hidung, tapi alah bisa tegal biasa. Kami anak Felda sudah biasa berkubang, mandi paya, main selut, kena pacat, gagau ikan.
Air paya yang seakan warna teh tarik juga digunakan untuk membasuh pakaian. Bayangkan baju sekolah pun bertukar menjadi kekuningan. Tapi apa nak malu, semua orang lain pun sama hehehehe. Bila musim hujan, main hujan di paya cukup menyeronokkan. Batang pisang dibuat rakit, terapung di paya mundar mandir.
Kebiasaannya ada pokok kelubi di kawasan paya. Pokoknya seakan pokok bertam, salak dan sawit. Berpelepah dan berduri tajam. Yang istimewanya adalah buah kelubi yang masam dan kelat. Kulitnya bersisik tajam. Kecur lior kalau terbayang buah kelubi cicah bersama kicap. Rasa masam kelat bercamur masin dan manisnya kicap cukup nikmat dirasa sambil mata mengenyit tahan masamnya buah kelubi. Kelubi juga enak dibuat jeruk sambil hirup kuah jeruk. Hahahaha
Memori paya hanya tinggal kenangan. Paya ini memberi erti kehidupan.