Friday, 23 June 2023

PANTUN

Hari Panas Jangan Ke Laut
Kalau Ke Laut Akan Tergalang
Hati Panas Jangan Diturut
Kalau Diturut Akal Pun Hilang.

Adab Bermula Dengan Salam
Resmi Pàdi Tunduk Dan Patuh
Beriak Itu Tanda Tak Dalam
Bergoncang Itu Tanda Tak Penuh.

Tetiba Malam nie terimbau zaman semasa sekolah dulu. Saya pelajar sastera, Form 4 salah satu subject elektif adalah Kesusasteraan Melayu. Pantun antara topik yang cukup menarik.

Secara mudahnya, saya rumuskan pantun adalah karangan berangkap yang menggunakan bahasa-bahasa indah. Setiap rangkap pantun terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pembayang dan satu lagi bahagian maksud. Kebiasaannya kita sering melihat pantun dalam 2 kerat dan 4 kerat. 

Rima atau bunyi akhir di hujung baris adalah sejajar. Bagi pantun dua kerat rima akhir dalam bentuk 'a,a'. Bagi pantun empat kerat pula, rima akhir berbentuk 'a,b,a,b'.

Saya cukup tertarik dengan pantun, cuma tidak mampu secara spontan memberi atau membalasnya. Memerlukan masa memikir, merangka dan menyusun bait-bait kata.

Apa yang menarik minat saya adalah, uniknya Bangsa Melayu, kita boleh melantunkan isi hati dengan diterjemahkan dalam bentuk garapan pantun samaada dalam bentuk penulisan atau secara lisan. 

Seakan, satu platform luah rasa, lontaran isi hati, pandangan, komentar, nasihat dan apa juga rasa gelodak meronta dalam fikiran. Inilah indahnya cara datuk nenek kita dahulu, cukup tertib bicara, Indah bait kata, tersusun bayang dan maksud, tersirat makna dalam tersurat kata, intelek bijaksana berbahasa serta sopan bicara. 

Saya sendiri laluinya, akan terpacul bait pantun bila terkait isu semasa. Kekadang mengutip pantun rujukan dari mana2 sumber, kekadang terlahir dari isi perut sendiri. 

Seni warisan ini makin terpinggir dan mungkin tidak dianggap menjadi keperluan atau berasa 'malu' untuk digunakan atau terlalu ekslusif untuk diguna dalam Majlis tertentu sahaja. Indahnya Bahasa Kita, moleknya adap bicara dan cantiknya bait kata dan lembut dalam tegas vokal suara.

Dalam marah, ada adapnya, dalam menyindir ada caranya, dalam menegur ada hikmahnya. Bicara kita lahir dari isi hati kita.

Terima Kasih atas ruang 2 tahun mempelajari Kesusasteraan Melayu pada tahun 1995 dan 1996 di Sekolah Menengah Kebangsaan Chemomoi (SMKC) terutamanya Cikgu Maziah Mohamed. Walaupun tidak pintar menguasai, namun bisa menjiwai.

Jangan dibiar 'pusaka' ini terus hilang dari jati diri kita.