Saturday, 24 May 2025

Pikuk & Aman

Apa ada pada Pikuk
Pikuk datang sama gempar
Apa ada pada hingar
Hingar hadir sama bingar.

Apa ada pada Aman
Aman datang rencana apa
Bicara gegar pelosok kawasan
Semua kerana punca kuasa. 

Pikuk modal tona vokal 
Riuh rendah lontar suara
Rekod lampau jadi modal
Dahan rapuh kuatnya mana. 

Gerombolan Aman lonjak diri 
Pencak diatur tingkah berbunga
Sorak bukan ujian kendiri
Banyak mata mana hasilnya. 






Friday, 23 May 2025

Selamat Tinggal Sahabat Baruku

Hari ini Seluruh Warga Keluarga Besar LKPP Corporation rasa berdukacita setelah seorang anggota syarikat iaitu Tuan Yahaya Rashid, Pengurus Ladang Lepar Besar telah kembali ke Rahmatullah pada petang tadi 23hb May. 

Pada tanggal 16hb May yang lepas, Ketua HR maklumkan bahawa Tuan Yahaya telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Secara peribadi, pada 17hb May, saya ada berbual melalui WhatsApp dengan Tuan Yahaya bertanya khabar dan doa padanya. Walau dalam keadaan tidak sihat, beliau masih membalas WhatsApp saya. 

Hari ini 23hb May 2025, saya Bersama anggota saya di Bahagian Audit iaitu Rozairi dan Badrul telah melawat Tuan Yahaya di Hospital pada masa rehat sebelum solat Jumaat.

Setiba di hospital, kami Ke Wad 8B, dari jauh beliau melambai tangan dan memanggil kami dengan mesra. Secara fizikalnya, nampak tubuhnya agak susut, Namun raut wajahnya bersih, rambut tersisir rapi walau banyak putihnya. Saya dapat lihat ada tube yang mengeluarkan air dari tubuh beliau. Arwah jelaskan ianya berfungsi untuk keluarkan air dari paru-paru.

Dalam keadaan tidak sihat, Arwah tetap sentiasa mengukir senyum dengan gigi tersusun rapi dan bersih, suaranya lembut, bicara tersusun dan sopan. Pasti ini cerminan karektor beliau yang cukup berhemah. Walaupun kami baru saling mengenal sekitar 5 bulan, tapi saya dapat rasa keikhlasan dan Silaturahmi Arwah setiap kali berurusan.

Masih terngiang kata-kata beliau tengahari tadi, beliau kata hampir sudah 10 hari di Hospital, sudah beberapa kali buat prosedur MRI, berasa kurang selesa mungkin kesan dari ubat, doktor masih membuat kajian penelitian bagaimana air boleh Ke paru-paru beliau. Namun, Arwah cakap dia rasa makin lebih baik dari hari sebelumnya. Dari riak wajahnya, saya yakin beliau positif dan kuat untuk melawan penyakit.

Beliau sempat begurau, katanya Ayah dan ibunya yang telah usia hampir 80 tahun lebih sihat dan kuat dari beliau. Sebelum keluar, kami bersalaman, agak kemas genggaman salamnya. Sempat beliau mohon doakan beliau sambil memberikan senyuman manis, saya hanya angguk dan membalas senyum. Rupanya, itulah senyuman terakhir beliau kepada saya.

Di luar wad, sempat saya berbual dengan Ayah dan Ibu Arwah. Ya, kelihatan masih Kuat walau usia katanya hampir 80 tahun. Masih boleh kerja kan kebun sawit dan mampu lagi memandu Jerantut-Kuantan. Ibu Arwah siap bagi tau, Arwah makin sihat dan beliau yakin anaknya boleh keluar hospital pada hari ini. Kata2 Si Ibu tersirat maksudnya.....

Dalam perjalanan pulang Ke Selayang petang tadi, Sekitar jam 6.30 petang semasa masih memandu, ketika saya berada di Temerloh, saya dapat khabar berita bahawa Tuan Yahaya telah kembali Ke Rahmatullah, Allahukbar. Rasa kaget, terkejut, terharu. Baru 6 jam sebelum Itu, kami bertemu dan berbual bersama!!!.

Buat Sahabat Baruku Tuan Yahaya, Selamat Tinggal Saya Ucapkan, Saya Doakan Tuan Yahaya Mendapat Rahmat Dan Perlindungan Allah, Diampuni Segala Salah & Silap, Diterima Semua Amal Ibadah & Kebajikan, Selamat Dalam Urusan Alam Kubur Dan Akhirnya Memperoleh Syurga.

Sekali Bersahabat, Inn Shaa Allah Bersahabat Dunia, Akhirat dan Terus Bersahabat Di Syurga. 

Selamat Tinggal Sahabat Baruku. Al Fatihah. 

Thursday, 1 May 2025

Memandaikan Matematik

Statistik keputusan SPM pada minggu lepas menunjukkan seramai 84,025 pelajar @ 22.4% yang gagal Matematik.

Ianya hampir 25%, atau mudahnya daripada 4 orang pelajar, 1 orang telah gagal dalam Matematik!!!!. Apa sudah jadi?

Bagaimana untuk kita mahu memandaikan generasi ini dalam aliran professional yang memerlukan penguasaan ilmu Matematik. Sudah tentu, Jika trend ini berterusan, mudarat besar akan berlaku selepas ini untuk kita lahir generasi yang bisa bersaing dan menguasai ilmu yang jauh Lebih mencabar dengan teknologi yang lebih kompleks.

Adakah ada masalah pada silibus nya, atau kaedah pengajarannya, atau soalan peperiksaannya, atau kegagalan pelajar menguasai asas ilmu Matematik, atau hilang minat dikalangan pelajar.

Saya dulu pun tidak la Cemerlang dalam Matematik Semasa SPM, tapi dalam situasi Kini, Penguasaan Matematik amat perlu dikalangan generasi anak2 kita. Ayuh kita usaha untuk Memandaikan Generasi anak kita dapat kuasai cabang ilmu ini.