Thursday, 30 October 2025

Indahnya Bahasa, Menyulam Maksud Melalui Analogi

Entah mengapa hari ini hati terpanggil untuk mencoret sedikit tentang "analogi", saya berpandangan ianya adalah seni bahasa yang halus, namun penuh kuasa menyampaikan maksud dalam cara yang paling kreatif, berimaginasi dan penuh rasa.

Apa itu analogi? Secara mudah, analogi ialah perbandingan antara dua perkara yang kelihatan berbeza, tetapi dikaitkan melalui persamaan sifat atau situasi. Penggunaan kata seperti "bagai, umpama, laksana,dan macam mewarnai ungkapan agar maksud yang rumit menjadi mudah difahami.

Contoh mudah analogi “Bagai Ilmu tanpa adab, umpama pelita tanpa sumbu, terang sekejap, kemudian gelap selamanya.”

Analogi bukan sekadar perhiasan bahasa. Ia berfungsi sebagai jambatan antara pemikiran dan pemahaman. Sasterawan, pendidik, pemimpin, malah penceramah agama sering menjadikan analogi sebagai senjata halus yang mengajar, menyindir, atau menegur tanpa menyakitkan secara langsung.

Namun begitu, tidak semua analogi sampai kepada sasaran. Kadang-kadang indah pada pencipta, kabur pada penerima. Maka di sinilah keindahan dan cabarannya. Memberi analogi bukan sekadar melontar kata, ia menuntut kefahaman konteks, emosi, dan latar pendengar.

Analogi juga cerminan kreativiti yang mampu mengubah hal rumit menjadi ringkas, yang kaku menjadi hidup. Mereka yang pandai beranalogi selalunya tajam fikirannya, halus jiwanya, dan dalam pandangannya.

Dan akhirnya, analogi juga adalah suara hati yang tersirat.

Dalam bait bicara yang penuh erti,
Umpama angin menyapa mentari,
Analogi menari dalam puisi,
Mengungkap rasa mungkin tersakiti.

Bagai ombak menyapa pantai,
Pesan disulam penuh santun dan damai,
Tersirat maksud dalam gurauan,
Tersurat nasihat dalam kiasan.

Bahasa Melayu itu indah. Dan dalam keindahannya, "analogi" menjadi jambatan untuk menyampaikan maksud yang kadang-kala sukar difahami melalui kata biasa. Kerana analogi bukan sekadar kata, ianya adalah seni menyampaikan rasa.

Teruskan analogi yang bermanfaat buat semua.