Wednesday, 31 December 2025

Tirai 2025 Berlabuh, Cahaya 2026 Menyapa

Tirai 2025 perlahan melabuhkan sayapnya,  
Bagai mentari senja yang tunduk ke ufuk,  
Meninggalkan bayang-bayang kenangan yang tersimpan rapi di dada waktu,  
Dan kini, Masihi 2026 mengetuk halus di pintu hati,  
Membawa harapan, membawa tanya, membawa azam yang belum selesai ditulis tinta.

Tirai lama telah pun berlabuh,  
Tirai baru mula terbuka,  
Di antara semalam yang sudah,  
Dan esok yang belum tiba.

Kita pernah goyah dalam mencari rentak,  
Kita pernah jatuh dalam menapak,  
Tapi kita bangun, bukan kerana kuat,  
Tapi kerana tahu tujuan tak pernah boleh berhenti setengah jalan.

Jika awalnya penuh gelisah,  
Maka kini biarlah kita penuh iltizam,  
Dalam setiap tugas yang dipikul,  
Ada pahala jika niatnya jujur, 
Langkahnya benar, tujuannya satu “Lillahi Ta'ala”.

Setahun sudah detik “Hijrah” ini berlalu,  
Di tanah yang asing ini mula terasa mesra,  
Di udara baru mula terasa akrab,
Awalnya, ada gusar yang tidak dinamakan,  
Ada resah yang tersembunyi di sudut diam,  
Ada langkah yang teragak-agak di batas sempadan keyakinan,  
Namun, dengan izin Tuhan,  
Perlahan-perlahan semuanya disulam dengan ukhuwah,  
Dengan kepercayaan,  
Dengan rasa ingin memberi sepenuh jiwa.

Menjadi Auditor Dalaman,  
Bukan sekadar membaca angka dan garis prosedur,  
Tetapi menyelami denyut nadi organisasi,  
Mendengar suara yang tidak bersuara,  
Menyampaikan kebenaran tanpa menjatuh,  
Mengangkat kekurangan untuk diperbaiki,  
Bukan untuk mencemuh,  
Tetapi untuk dicambah suburkan pembaikan.

Ada masanya, penemuan menjadi luka kecil,  
Tapi luka itu harus dibasuh dengan hikmah,  
Bukan dibiar bernanah.  
Dalam setiap teguran, disisipkan harapan,  
Dalam setiap laporan, ditiupkan semangat,  
Bukan untuk menghukum,  
Tetapi untuk menuntun.

Setahun telah berlalu,
Ada rajuk yang terpendam,  
Ada hati yang terus belajar untuk berlapang dada,  
Ada ukiran senyum di celah lelah, 
Syukur, ruang terbuka dengan kasih,
Alhamdulillah, suasana yang harmoni,  
Masih mekar dan terus diperindah.

Dan kini, 2026 menjengah,  
Membawa cabaran baru,  
Membawa dugaan yang belum tertulis,  
Membawa peluang yang harus digenggam sebelum hilang.

Tahun 2026 bukan sekadar nombor baharu di kalendar.  
Ia adalah helaian baharu yang kosong,
Untuk kita lakar dengan amal,  
Dengan usaha,  
Dengan pengorbanan yang tidak selalu dilihat,  
Tapi besar nilainya di sisi Tuhan.

Moga sirna terus bersinar,  
Moga langkah terus terarah,  
Moga segala usaha bukan sia-sia,  
Moga diri ini terus bermanfaat dan dirahmati Allah hingga akhir usia.

Selamat datang 2026, 
Aku datang, dengan hati yang mahu berubah,  
Dengan jiwa yang mahu lebih teguh,  
Dengan azam yang tidak mahu rebah.

Tahun berganti, usia juga pergi,  
Namun harapan tak pernah mati.  
Kita usaha, kita doa,  
Moga akhirnya sampai jua,
2026….. Moga Sukses Sentiasa…..

Monday, 29 December 2025

Papa Zola The Movie : Kita Usahakan Lagi

Pada tanggal 26 Disember lepas, dalam hujung tahun yang redup, anak-anak request dengan mata bersinar ingin menonton “Papa Zola The Movie”. Lalu aku, isteri, dan mereka yang aku cinta, melangkah ke GSC KL East Mall. Sekadar menunaikan permintaan kecil yang hakikatnya mungkin sebesar ‘dunia’ buat mereka.

Sebagai sipnopsisnya, pada aku jalan cerita Filem itu mudah, tapi ada mesejnya. Ia bukan sekadar kisah seorang Bapa yang berusaha keras demi menyara keluarga dengan membuat beberapa kerja dan nekad seorang Bapa yang berusaha membawa keluarga untuk bercuti. Aku tidak mahu ulas plot cerita berkisar Agent Rahsia PAPA hingga usaha melindungi anaknya dari diculik dan usaha menyelamatkan Bumi. 

Namun, aku lebih tertumpu pada gelagat seorang Bapa. Ia adalah potret jiwa, seorang lelaki biasa yang menyimpan sifat luar biasa dalam tenangnya. Seorang Bapa, yang menyarung seribu watak demi kebahagiaan keluarganya. Namun, apa yang benar-benar menyentuhku bukan sekadar plotnya. Ia datang dalam bentuk yang lebih halus, melodi dan lirik lagu yang menyapa tanpa suara tinggi, namun menyentuh dalam dada. Kita hayati liriknya… 

"Jika tidak hari ini
Mungkin minggu depan
Jika tidak minggu ini
Mungkin bulan depan

Jika tidak bulan ini
Mungkin tahun depan
Segala harapan kan datang
Yang kita impikan

Janganlah menyerah dulu
Waktu masih panjang
Ingat doa kita selalu
Yang tak pernah usang

Kita usahakan lagi sayang
Kita usahakan lagi sayang
Yakin waktunya kan datang

"Kita Usaha Lagi", lagu yang kedengaran ringan pada lidah, namun berat pada makna. Seperti titisan hujan yang lembut, tapi menyubur akar yang lama gersang. Melodinya sederhana, tapi seperti angin senja, ia membawa ingatan pulang.

Terima kasih, Papa Zola. Kerana dalam gelak tawa anak-anakku, aku menemui cermin untuk menatap semula siapa aku. Dan untuk semua yang sedang lelah berusaha, jangan menyerah. Waktu masih Panjang, Kita usaha dan usaha lagi, Yakin waktunya akan datang.

Baris demi baris, seperti bisikan lembut seorang ayah kepada anaknya yang hampir putus harapan. Atau seperti doa seorang ibu, yang tidak pernah letih memohon walau malamnya panjang tanpa bintang.

Dan saat itu, aku teringat Arwah Abah dan Mak. Terbayang wajah yang pernah basah dek peluh, bukan kerana kerja semata, tapi kerana cinta. Mereka tidak kaya dengan harta, tapi kaya dengan tekad. Mereka bukan hanya membesarkan anak-anak, tapi menyuburkan harapan, menanam nilai yang kini tumbuh dalam diriku pula.

Dulu, mungkin aku kurang mengerti. Kini, aku adalah bapa. Dan hanya seorang bapa yang tahu, bahawa dalam setiap senyum anak-anaknya, ada air mata yang ditahan. Dalam setiap ketawa mereka, ada tulang belakang yang merintih, tapi tidak pernah rebah.

Kini aku faham, Usaha adalah bahasa kasih yang paling sunyi.  Ia tidak perlu diberi tepukan, cukup sekadar dihargai dalam doa yang diam. Dan bait-bait lagu itu seperti menghidupkan semula semua yang aku hampir lupa bahawa kita ini manusia yang diberi ruang untuk jatuh, bangun, gagal, mencuba, dan usaha lagi.

Kita usahakan lagi, 
Yakin waktunya akan datang.
Kita usahakan lagi, wahai diri…  
Kita usahakan lagi, wahai jiwa…  
Untuk Semua…..

Sunday, 21 December 2025

Tanggal 21 Disember : Sebuah Doa yang Terbit dari Diri.

Aku dilahirkan dalam dingin Disember,  
Kemudian dibenarkan di bumi Felda, Tanah harapan yang dicorak dengan peluh dan sabar,  
Anak sulung dalam rumah kecil penuh azam,  
Dalam asuh abah yang diam, 
Dalan didik emak yang berjuang, 
Tahun 1979 menjadi saksi hadirku ke dunia,  
Sebagai amanah, bukan hanya untuk hidup, tapi untuk memberi makna.

Aku dilahirkan bukan dari kemewahan,  
Tapi dari kekuatan yang diwarisi dari Abah,  
Yang mencoret harapan di ladang sawit,  
berniaga, berpenat di tanah Felda,  
Menyusun nafkah demi kami lima beradik.  
Abah, terima kasih atas cinta yang tak bersyarat,  
Atas peluh yang menjadi rezeki,  
Atas sabar yang menjadi teladan,  
Moga syurga abadi tempat peristirahatan.

Emak, doamu adalah tiang usia ini,  
Senyummu adalah doa yang tak pernah padam,  
Dalam lelahmu, aku belajar tabah.  
Terima kasih, Emak.

Isteriku, peneman setia dalam sunyi dan gelora,  
Anak-anakku, penyejuk mata, pewaris nama dan doa,
Adik-beradikku,penyambung kasih,  
Seluruh keluarga dan Sahabat, kalian pelangi dalam langit kehidupanku, 
Aku tak mampu membalas segalanya,  
Melainkan dengan rasa syukur yang tak bertepi.

Tahun bertukar, usia berlalu,  
Namun aku Mohon, biarlah langkah ini terus dipandu oleh rahmat Allah,  
Biarlah rezeki ini terus dalam keberkatan,  
Biarlah kejayaan yang diraih, tidak menjauhkan aku dari sujud dan zikir.

Hari ini, aku tiup lilin di dalam hati,  
Dengan doa yang tak bersuara, 
Ya Allah, panjangkan usia ini dengan keberkatan,  
Kukuhkan iman, tetapkan istiqamah,  
jadikan aku hamba yang tahu tujuan,  
Suami yang setia, Ayah yang membimbing,  
Anak yang mengenang jasa,  
Abang yang menyatu kasih,  
Sahabat yang jujur dalam ukhuwah.

Selamat ulang tahun wahai diri,
Jangan lupa dari mana kau bermula,  
Jangan gentar ke mana kau melangkah, 
Kerana hidup ini bukan sekadar angka,  
Tetapi tentang jiwa yang tahu mensyukuri segalanya.


Thursday, 18 December 2025

Kasih Seorang Abah

Hari ini,  
19 Disember kembali lagi, 
Angin Disember hadirkan rindu yang tak pernah padam,  
Genap lah sudah 6 tahun berlalu,  
Namun seakan bayang Abah masih bernafas di dinding kenangan.

Abah Kami,  
Haji Ab Karim bin Ahmad,  
Namamu kekal terpahat bukan hanya di batu nisan,  
Tetapi di hati kami yang diasuh di bawah redup Kasih mu berdua bersama Bonda Rokiah Ishak, 
Dahulu, hidup kita serba sederhana,  
Namun rumah itu penuh bahagia, 
Penuh tawa dan harapan yang disulam dengan tanganmu sendiri.

Abah, 
Hijrahmu dari Kedah Ke Perak hingga akhirnya Ke Pahang, 
Dengan semangat yang tidak semua punya,  
Berstatus Peneroka di Tanah Rancangan Felda Kemasul,  
Ladang sawit saksi keringatmu yang tumpah demi sesuap rezeki,  
Kau bukan hanya membanting tenaga di ladang,  
Tapi juga berniaga, menoreh, dan terus bekerja,  
Walau malam telah datang memanggil tubuh untuk rehat.

Sebagai anak sulung,  
Aku pernah berjalan di belakangmu,  
memikul bekal ke ladang,  
Mengangkat sawit, mengutip getah sekerap, menampal harapan,  
Aku lihat sendiri jerihmu tak pernah kau adu, 
Dan hari ini,  
Dalam darahku mengalir semangat yang kau tinggalkan,  
Sifat sabarmu, tegasmu, lembut bicaramu,  
Tabiat jariahmu, cintamu pada agama,  
Semuanya menjadi pelita aku berjalan.

Abah,  
Doaku tak pernah lekang buatmu,  
Moga segala keringatmu jadi jariah yang mengalir tenang,
Setiap ringgit yang kau usahakan jadi cahaya pada jalanmu di alam sana,  
Setiap butir ajarmu jadi payung rahmat buatmu. 

Dikau tiang rumah kami,  
Imam pertama yang ajar kami sujud dan sabar,  
Juga wira keluarga, 
Perjuanganmu terus bergema sampai bila-bila. 

Moga kami zuriatmu,  
Menjadi sambung pahala yang kau tinggalkan,  
Menjadi benih syurga dari ladang doa yang kau semai,  
Hingga kita bertemu kembali 
Di Taman Abadi,  
Dalam reda Ilahi.

Abah,  
Kau telah pergi,  
Tapi semangatmu kekal,  
Seperti akar di Bumi yang tak terlihat,  
Tapi kuat menegakkan pohon kami.  
Al-Fatihah buatmu,  
Wahai Ketua paling agung dalam hidup kami.

AL FATIHAH...... 

Wednesday, 17 December 2025

Merayu Pada Hujan

Hujan turun…..
Bukan sekadar titisan dari langit,  
Tetapi nukilan pesan yang disuratkan,
Pada gumpulan awan yang redup,  
Pada bumi yang menadah bisu.

Hujan menjerit lebat…..
Bagai air mata langit yang tumpah,  
Dek kerana dunia lupa untuk tunduk,  
Manusia alpa leka untuk sujud,  
Mengejar dunia dengan kalut.

Hujan ini bukan bencana,  
Tetapi bisikan dalam bahasa rahsia.  
Membasuh noda dosa di dedaun,  
Membersih debu kotor di jiwa,  
Menggugurkan dosa manusia.

Lihatlah dari mata hati, 
Rumput yang dahulu layu kini tegak bugar,  
Sungai yang kering kini menyanyi galak,  
Dan langit, meski kelabu tebal,  
Masih setia mencurah Rahmat Maha Esa,
Walau bumi sering lupa bersyukur.

Hujan tidak murka,  
Tetapi nada menegur dalam dingin,  
Teguran kenyal yang tidak memekik,  
Namun ia menusuk,  
Teguran yang tidak menampar,  
Namun membasah hati yang kontang.

Di kala petir menyambar,  
Ianya bukan tanda amarah,  
Tetapi ia satu seruan, 
Sedarlah wahai insan,  
Itulah tanda waktu itu detiknya mendekat.

Syukurilah,
Walau hujan membanjiri lahan,  
Walau atap bocor dan tanah mengalir,  
Setiap titisnya adalah rahmat,  
Rasa dinginnya tanda peluang bertaubat.

Jangan tunggu hadir pelangi baru bersyukur,
Kerana hujan itu sendiri adalah anugerah,  
Dalam ribut ada reda,  
Dalam gelap ada cahaya hujungnya.

Hujan itu bagaikan syair,  
Ditulis tanpa dakwat pena,  
Didendang oleh hati yang mengerti,
Bahawa dalam basahnya ujian,  
Ada rahmat sebalik tersirat.

Maka bersyukurlah,
Sebelum tanah menjadi kering,  
Sebelum langit menjadi bisu,  
Sebelum doa menjadi tepu.

Aduhai sang hujan,
Usahlah kuat kau jeritkan duka langit,  
Perlahanlah turun, setitis-setitis,  
Agar tanah tak luka,  
Agar insan tidak dukacita.

Wahai sang hujan,  
Tenteramkan amarahmu yang deras,  
Kami akui bumi perlu basah,  
Namun, usah kau bawa bencana yang rebah,  
Jadikan curahanmu itu rahmah, bukan resah.

Kami memujukmu wahai titisan Syurga,  
Berzikirlah perlahan dalam tona sederhana,  
Bukan menghenyak bumi dengan dentuman,  
Kerana ada si anak kecil dalam dakap ibu,  
Ada lahan menunggu tuaian,  
Ada insan yang berduka di celah dugaan.

Wahai sang hujan, 
Jangan jadi badai yang menyesakkan,  
Jadilah selimut gebo dingin yang menyegarkan,  
Penyejuk hati yang sedang rawan,  
Pembersih debu pada dinding iman.

Aduhai sang hujan,
Jika kau perlu bicara,  
Bicaralah dengan lembut pada pepohon DxP,  
Pada atap quarters yang usang,  
Pada jalan yang sempit tanpa gravel penuh,  
Kerana kami ingin mendengar pesan Yang Maha Kuasa,  
Bukan amukan langit yang menghukum.

Turunlah, wahai hujan, dengan penuh kasih,  
Bukan marah yang bengis, 
Curahkan dirimu dengan hikmah,  
Jauhi kami dari musibah.  
Dan tinggalkanlah kami dengan pelangi harapan,  
Bukan dengan banjir tangisan.

Thursday, 4 December 2025

Masa Yang Tidak Menunggu

Masa,  
Bukan bayang yang bisa dikejar,  
Bukan juga jejak yang bisa diundur,  
Ianya datang dalam diam,  
Pergi berlaku tanpa salam.

Disember pun menjengah, 
Hari ini hari ke 5,
Menghambat tahun ke hujungnya,  
2025 hampir melabuh tirai,  
Tinggal cebisan waktu sahaja, 
Sekadar nafas panjang yang tak sempat disusun.

Setahun tetap 12 bulan,  
Tetap 365 hari,  
Tetap 31 juta lebih detik berputar,  
Namun mengapa terasa ia berlari,  
Seperti angin laju yang tak sempat kita capai?

Mungkinkah kerana, 
Waktu yang dahulu datang dengan berkah,  
Kini berlalu tanpa jejak. 
Kita terlalu sibuk menghitung dunia,  
Hingga lupa menyemai bekal ke sana, 
Berkahkah masa waktu kini yang kita guna? 

Makin mengejar, 
Makin dikejar, 
Makin memburu, 
Makin diburu, 
Masa tetap dengan masanya, 
Kekadang manusia lupa, leka, alpa. 

Masa sibukmu, 
Tanpa sedar ia berlaku, 
Masa senggangmu, 
Tanpa sedar ia menjauh lalu. 

Sabda Baginda SAW menggetarkan:-  
“Waktu akan terasa cepat,  
Sehari seperti sejam,  
Sejam seperti sekelip mata.”  
Dan aku mula gentar, 
Disalut kecut gusar, 
Adakah ini petanda?  
Atau sekadar ingatan yang mula pudar?

Demi Masa,  
Kata ALLAH yang Maha Mengetahui,  
Manusia itu rugi,  
Jika tiada Iman di hati,  
Jika tiada amal diamali,  
Jika tiada sabar ditingkahi,  
Jika tiada kebenaran dipegangi. 

Dan kini aku bertanya sendiri, 
Sudahkah aku tepati janji amanah kerja?  
Sudahkah amalku melebihi dosaku?  
Sudahkah aku manfaatkan waktu keluarga?  
Sudahkah cita-cita yang aku laung,  
Menjadi nyata atau sekadar bayang?

Kerana masa itu,  
Tidak pernah menoleh.  
Ianya terus pergi berlalu,  
Meninggalkan kita, 
Sama ada dengan kenangan,  
Atau penyesalan.

Wahai diri ini,  
Langkahlah ke tahun baru nanti bukan sekadar dengan harapan,  
Tapi juga dengan penghayatan.  
Kerana waktu itu bukan untuk dipenuhi,  
Tetapi untuk dimaknai.

Dan waktu,  
Tidak pernah menunggumu....