Ada dua detik dalam hidup saya semasa zaman sekolah yang tak akan saya lupa, dua tamparan emosi yang pernah menyakitkan, tapi akhirnya menyedarkan.
Darjah 6 Merah di SKFK, Kelas yang penuh semangat… dan sedikit kisah ‘burung’. Satu hari, Guru Bahasa Melayu ku, Cikgu tanya, “Siapa sini suka main tahan burung serindit?” Saya, dengan confident, angkat tangan tinggi. Cikgu tanya lagi, “Ada guna jebak? denak? dapat tangkap?” Saya jawab semua soalan dengan sengeh bangga "dapat Cikgu, burung serindit". Dalam hati, “Mesti cikgu kagum ni.” Tapi jawapan cikgu betul-betul buat hati saya koyak rabak, “Mesti serindit yang b***h.”
Saya terdiam. Rasa marah, kecil hati, malu pun ada. Bertahun saya simpan ayat tu dalam hati, macam lagu sedih yang sentiasa berulang dalam kepala. Tapi bila dah dewasa, saya akhirnya sedar, itu bukan hinaan, tapi wake-up call. Cikgu tak nak kami syok sendiri dengan kebodohan yang kita rasa hebat. Dan ya, saya gagal subjek cikgu tu. Tapi saya tak pernah gagal ingat jasanya. Sekarang cikgu dah tiada… Al-Fatihah, Cikgu. Maafkan saya. Saya akhirnya faham.
Tingkatan 3, Kelas Khuldi : kelas target Matematik C. Masuk kelas Matematik, cikgu selalu cakap, “Saya target kamu semua dapat C. Saya akan ajar untuk lulus.” Kami diam, terpinga. Tapi cikgu ada strateginya. Fokus hanya pada soalan mudah. Yang susah? Tanda je, mana tahu nasib baik. Teknik ‘main selamat’ ni akhirnya berkesan, saya lulus, dapat C, macam yang dia jangka. Dulu saya marah, kenapa cikgu tak cuba angkat kami untuk A macam kelas Firdaus dan Adnin ? Tapi sekarang saya sedar, itu strategi realistik. Bukan sebab kami lemah, tapi cikgu tahu kekuatan kami di mana dan bina dari situ. Tak semua boleh jadi jurutera, tapi semua boleh berjaya, dengan cara masing-masing.
Dua cikgu, dua gaya, dua kesan. Tapi kedua-duanya membentuk siapa saya hari ini. Kadang yang menyakitkan tu bukan untuk menjatuhkan, tapi untuk menyedarkan. Terima kasih, cikgu-cikgu. Jasa kamu semua, tetap saya bawa dalam setiap langkah hidup ini.