Friday, 5 September 2025

Sahabat Lama & Sahabat Baru

20 tahun bersama majikan lama, saya melangkah ke tempat kerja baru yang jauh 250km dari kehidupan di tempat lama yang dulu. Sahabat lama makin jarang ditemui, Sahabat di tempat baru pula sukar didekati.

Bersama keputusan ini, saya juga terpaksa meninggalkan rutin, kenangan dan sahabat-sahabat lama yang begitu dekat di hati.

Jujurnya, yang paling terasa ialah bila tidak lagi dapat bersua muka dengan mereka. Masing-masing dengan haluan kerja dan keluarga. Walaupun teknologi ada, tapi ‘sentuhan’ persahabatan itu makin jarang dirasa.

Tempat kerja baru pula, suasananya berbeza. Sebagai auditor, bukan semua orang selesa mendekati, mungkin kerana persepsi kerja saya yang agak “sensitif", hubungan sekadar professional. 

Namun, satu petang yang tidak dijangka, telefon saya berbunyi. Seorang sahabat lama (kami pernah bekerja bersama sekitar 2004-2006 sebagai auditor), sudah hampir 17 tahun tidak bekerja bersama, mengajak minum petang di sebuah kopitiam. Hati saya berbunga. Kami berjumpa, berbual. Dan yang lebih manis, beliau memperkenalkan saya kepada sahabat-sahabatnya dari pelbagai latar kerjaya, tetapi semua menyenangkan.

Sejak hari itu, sekurang-kurangnya seminggu sekali saya akan ‘lepak’ bersama Sahabat2 baru walaupun Sahabat lama saya itu tidak dapat bersama atas komitmen kerja. Sekadar kopi o panas dan roti bakar, tapi cukup mengikat ukhwah. Siapa sangka, dari perkenalan yang baru, boleh hadir keakraban yang mengisi ruang senggang untuk bersahabat. 

Sahabat sejati tidak semestinya lahir dari masa yang panjang, tetapi dari hati yang ikhlas menerima. Kekadang, sahabat hadir bukan kerana lama kenal, tapi kerana hati cepat bertaut. Lama atau baru, kita tetap perlukan sahabat untuk melengkapkan perjalanan hidup. Yang jauh tetap dikenang, yang baru tetap disayang.

Hidup ini bukan sekadar tentang kerja dan tanggungjawab. Ia juga tentang siapa sahabat yang kita ada untuk mendengar, untuk tertawa, atau hanya duduk diam bersama. Pantun ringkas buat sahabat:

Kopi panas di waktu senja,
Roti bakar cicah bersama, 
Sahabat lama tetap di jiwa,
Sahabat baru tawa cerita. 

Sahabat adalah anugerah yang tidak ternilai. Sama ada lama atau baru, mereka melengkapkan perjalanan hidup kita. Kadang kita tak rancang, tapi Tuhan hadirkan mereka tepat pada masanya.

Terima Kasih buat semua Sahabat. Sekali bersahabat, selamanya bersahabat. Inn Shaa Allah bersahabat hingga ke Syurga. 


No comments:

Post a Comment