Friday, 28 November 2025

Bila Mikrofon Makin Menjauh.

Kebelakangan ini aku kerap menghadiri beberapa program. Biasalah, bila ada dinner, selalunya pakej wajib termasuklah sesi karaoke. Entah siapa yang mula-mula mencipta formula “makan + mikrofon = gembira”, tapi ia nampaknya berkesan.

Setiap kali mikrofon bertukar tangan, pasti ada yang mula mengusik. “Pergi la nyanyi satu lagu! Jangan malu!” Kononnya mencabar, padahal mereka tahu, suara aku ini kalau dilelong pun belum tentu ada yang sanggup bida. Lantas aku menolak dengan alasan standard ISO, “Saya tak pandai menyanyi.” Dan itu bukan alasan diplomatik memang sahih, suara aku tak sedap… hahaha… hahahahaha.

Namun bila aku duduk termenung, tiba-tiba memori lama menyapa. Rupanya berdiri di khalayak ramai bukanlah benda asing pun pada diriku.

Zaman Sekolah: Era Tekong Nasyid Berwibawa (kononnya)

Sejak Darjah 4 lagi aku dah kena angkat jadi Tekong Nasyid di Sekolah Agama Rakyat Felda Kemasul. Majlis rasmi sekolah? Anugerah Cemerlang? Hari apa pun, asal ada mikrofon, aku lah antara orangnya.

Sampai sekarang aku masih ingat bait-bait lirik nasyid Itu. Kadang-kadang terdetik Juga, "Dulu sedap ke suara aku?”
Aku rasa… boleh tahan jugalah masa tu… hahahaha. Di Sekolah Kebangsaan pula, peluang tak sama. Ramai lagi “talent” lain, jadi aku pun kembali jadi penyokong tegar di belakang tabir.

Dikir Barat 1995: Era Glory Form 4

Masuk Sekolah Menengah Felda Chemomoi, hidup berubah lagi. Tahun 1995, semasa Form 4, aku sertai pasukan Dikir Barat sebagai awak-awak. Kalau zaman sekarang ada “road to final”, kami pun ada versi sendiri. 

Zon → Juara
Daerah Bentong → Juara
Negeri Pahang → Juara

Akhirnya melangkahlah kami ke Penang Free School untuk peringkat kebangsaan.
Tema masa itu: “Jauhi Dadah”, semangat kami membara walaupun bukan Top 3. Yang penting, dapat harumkan nama Pahang. Sebelum ke Penang, sempat perform depan MB, Tan Sri Adnan Yaakob (Long Nan). Masa tu rasa macam artis RTM dah lebih kurang.

Zaman University. 

Masuk universiti, setiap kali buat assignment berkumpulan, bahagian pembentangan memang secara automatik jatuh ke aku. Tak payah undi, tak payah lantik, semua pandang aku, aku pandang mikrofon. Faham-fahamlah.

2004: Karok THP, Sejarah Awal Kerjaya

Tahun 2004 pula, tahun pertama bekerja di THP. Untuk Family Day di Langkawi, ada pula saringan karaoke. Entah macam mana, aku berjaya lepas saringan dan layak ke final. Perform pula depan Chairman, Board of Directors, CEO dan semua kakitangan.Masa tu rasa macam konsert TV3 hujung Tahun. Walaupun suara aku kalah teruk dengan geng-geng suara emas macam Saiful dan Puan Ros, dapat saguhati pun dah kira bangga dah.
Hahaha.

Zaman Auditor: Karok Sebagai Terapi Jiwa

Zaman auditor lagi la banyak cerita.
Asyik outstation ke Semenanjung, Sabah, Sarawak, sampai Indonesia.Di guest house dan mess estate, selalunya memang ada set karaoke. Budak-budak audit pun apa lagi, masing-masing mula tunjuk bakat terpendam.

Ada yang memang power seperti Hidayat, Azhar. Ada yang amateur tapi yakin seperti Adi, Irwan, Alifi. Ada yang malu-malu kucing, Faizal, Izwan dan ramai lagi. Nyanyi bukan sebab nak jadi artis, tapi nak lepaskan lelah kerja seharian. Yang paling best, suara orang estate Sabah, Sarawak dan Indonesia, memang macam penyanyi professional. Kadang aku rasa, kalau buka label rakaman khas untuk estate pun boleh jadi.

Era HR: Dari Tekong Nasyid ke Emcee Profesional

Bila aku ditarik masuk ke HR, tugasan baru lahir iaitu Jadi tukang cakap, emcee, pengacara apa jua majlis dalaman syarikat. Mula-mula memang ketar lutut.
Tapi bila dah selalu buat, ia jadi sebahagian rutin, macam makan nasi hahahaha. Itu dulu la. 

Kini: Aku, Mikrofon & Nostalgia Yang Tinggal

Sekarang, semuanya berubah. Aku dah jarang naik pentas. Dah jarang berucap. Apatah lagi nak “menyumbangkan” suara di depan khalayak.

Suara pun dah tak padu. Nafas pun tak selaju dulu. Keyakinan pun… hmm, biarlah rahsia.

Biar aku jadi seperti sekarang. Masa sudah berubah, dan aku terima dengan senyuman.

Kadang-kadang, kita tak perlu kembali menyanyi di atas pentas.
Cukuplah kenangan lama bernyanyi perlahan dalam hati.

Hahaha. 

Friday, 21 November 2025

Siar & Raya

Ada waktunya, hidup memberi kita lembaran tugas yang tidak pernah kita pohon, tidak juga kita bayang dalam mimpi, jauh sekali dalam minat atau keutamaan.

Maka datanglah satu hari aku ditunjuk untuk mengetuai satu tugasan teknikal, menjurus kepada sistem siaraya, pencahayaan, persembahan dan segalanya yang berbunyi, berlampu dan berskrin. Sampaikan mencari artis, gila.... Tidak pernah dibuat sepanjang hidup ini. Siapa artisnya?... Haaaa Si dia yang dipilih... aku tepuk kepala hahahahaha. 

Bukan sekadar majlis kecil, tetapi sebuah acara gilang-gemilang tahunan yang bakal menghimpunkan lebih 1800 jiwa, termasuk VIP dan barisan Lembaga.  

Ironinya, tugasan ini langsung tidak bersandarkan bidang kebiasaan, apatah lagi kemahiran teknikalku. Malah, untuk sekadar memahami beza mixer dan monitor speaker pun aku perlu google dua kali. Yang lebih melucukan, aku ditugaskan mengetuai pasukan yang bukan bawah kendalianku. Bagai "pinjam tangan, pinjam bahu, Aku senyum nipis, dalam hati kata" pinjam nyawa, boleh?"

Aku cuba ketawa, namun terasa seperti wayar ground putus.  

Ada sinis kecil dalam hati mengapa tidak diberikan kepada yang arif lagi mahir? Tapi mungkin, ada hikmah yang belum terzahir. Mungkin ini bukan soal teknikal, tapi soal kepercayaan, soal pengurusan, soal menjahit titik-titik menjadi satu garis. 

Lalu aku katakan pada diri, 
“Biar aku bukan teknikal, aku masih taktikal.”  
Biar aku bukan pemain alat, tapi aku boleh mainkan peranan.  
Biar tak tahu pasang speaker, tapi tahu pasang semangat.  
Biar tak mahir lighting, tapi tahu sinarkan pasukan. Walau tidak kenal semua alat video, aku hanya pandai sebut ooooo. 

Ada getirnya, pasti. Rasa geli geleman pun ada. Tapi, menyerah bukan pilihan. Aku bukan pencinta tugasan ini, tapi aku hamba kepada amanah. Maka akan ku laksanakan sebaik mungkin, seikhlas mungkin, semampu mungkin.  

Kerana dalam setiap tugasan yang tak diminta, kadang di situlah Tuhan selitkan peningkatan.

Cabaran harus disambar, walau datang dalam sahut yang dingin.  
Pantang aku mengalah, walau jiwa rasa 'tengin'.

Aku juga yakin, ada ramai sedia bantu terutamanya pasukan Teknikal. Kerja pasukan Itu pasti lahirkan hasil terbaik, Inn Shaa Allah. 

Terima kasih untuk "peluang" yang walau tampak asing, mungkin inilah ruang menjadi lebih dari biasa.

Moga Siar Menjadi Raya. 


Tuesday, 18 November 2025

Salam Dari Padang dan Lubuk Subur

Hampir setahun aku berhijrah ke sebuah organisasi di Negeri Darul Makmur, sebuah bumi baharu yang menyambutku dengan angin damai dan wajah-wajah yang masih belum sepenuhnya kuhafal. Di belakang sana, lencana lamaku yang hampir dua dekad melekat di dada, kutinggalkan dengan seribu kenangan yang tidak mudah dilunturkan masa. Mana mungkin aku cepat melupakan lambang yang pernah menjadi sebahagian daripada denyut nafasku?

Dalam jarak yang merenggangkan waktu namun tidak memutuskan rasa, kerinduan kepada teman dan ‘lawan’ lama tetap utuh. Ada kalanya, tatkala sepi membuka pintu atau kenangan datang berketuk, aku menyapa mereka melalui lorong-lorong maya, berbual sekadar bertanya khabar dengan mereka yang masih sudi berteman.

Sejak hijrah ini, pelbagai cerita singgah ke telinga, ada yang indah menenteramkan dada, ada juga yang kurang enak menikam nurani. Sama ada melalui sumber daripada teman-teman atau berita yang tersiar di media, semuanya datang silih berganti. Tidaklah aku berhasrat untuk merungkai cerita sensasi, takut-takut ada hati yang terguris tanpa sengaja. Nukilan ini hanya ingin menyentuh tentang pemimpin dan tentang padang tempat kita berpijak.

Di ‘Tempat Lama’, kebanyakan pemimpin yang pernah aku bersama telah pun beredar dari kerusi masing-masing. Ada yang bersara dengan tenang, ada yang ‘di’bersarakan’, dan tidak kurang yang ‘diminta bersara’. Itulah hukum alam, kita merancang sehabis baik, namun esok tetap milik rahsia. Yang pasti, kita hanya mampu mengurus hari ini dan memuhasabah hari semalam dan sebelumnya.

Kata orang tua, lain padang lain belalang, lain lubuk lain ikannya. Padang dan lubuk itu tempatnya, belalang dan ikan itulah ragam dan budayanya. Kini aku berada di padang dan lubuk yang Baharu, dengan hamparan asing yang perlahan-lahan cuba kujijak dan kuselami. Alhamdulillah, syukur atas ruang dan peluang, aku belajar menjiwai denyutnya, merasai nikmat bermastautin di bumi yang belum sepenuhnya aku jelajah ini.

Namun pada hakikatnya, di mana pun letaknya padang dan lubuk, amanah yang kita sandang bukanlah kehormatan untuk dibanggakan. Ia adalah tugas yang berat, menuntut pengorbanan, kesungguhan, dan jiwa yang sentiasa sedar akan tanggungjawabnya.

Rasulullah SAW bersabda “Setiap kalian adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya…” (Hadis Riwayat Bukhari). 

Hadis ini mengingatkan kita bahawa setiap insan, Lelaki mahupun Wanita itu adalah pemimpin. Sekurang-kurangnya pemimpin kepada diri sendiri, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berada di bawah jagaan dan bidang amanah kita.

Kata kunci yang harus sentiasa disematkan adalah akauntabiliti  iaitu kebertanggungjawaban penuh terhadap setiap tindakan dan keputusan. Bila amanah diberi, maka wajiblah ia ditunaikan dengan sebaik mungkin, walau di padang mana pun kita berdiri dan di lubuk mana pun kita menyelam.

Gaya kepimpinan pula terikat kepada beberapa faktor, Pertama, pengalaman yang dibentuk oleh latar belakang, ilmu dan keyakinan terhadap pengikut. Kedua, kebolehan pengikut, semakin yakin dan bersedia mereka, semakin luas ruang kebebasan yang boleh diberikan. Ketiga, situasi, kerana pemimpin yang baik wajib membaca suasana sebelum melakar hala tuju.

Pemimpin harus menjadi cermin kepada pengikutnya. Seperti acuannya menentukan bentuk kuih, begitu jugalah peribadi pemimpin mencorakkan kecemerlangan yang diharapkan daripada pengikutnya.

Kesimpulannya, buat kita semua yang menggalas gelaran pemimpin, tanpa kecuali. Padang ini milik kita bersama, Lubuk ini rezeki kita bersama.

Maka ayuhlah, khususnya buat diriku sendiri, si ‘belalang dan ikan’ yang masih bertatih, meluruskan langkah, mengukuhkan iltizam, dan mengejar cita-cita bersama. Semoga kita mampu terus menabur bakti di padang dan lubuk yang subur ini.

Salam hormat dari Padang dan Lubuk Subur.