Kebelakangan ini aku kerap menghadiri beberapa program. Biasalah, bila ada dinner, selalunya pakej wajib termasuklah sesi karaoke. Entah siapa yang mula-mula mencipta formula “makan + mikrofon = gembira”, tapi ia nampaknya berkesan.
Setiap kali mikrofon bertukar tangan, pasti ada yang mula mengusik. “Pergi la nyanyi satu lagu! Jangan malu!” Kononnya mencabar, padahal mereka tahu, suara aku ini kalau dilelong pun belum tentu ada yang sanggup bida. Lantas aku menolak dengan alasan standard ISO, “Saya tak pandai menyanyi.” Dan itu bukan alasan diplomatik memang sahih, suara aku tak sedap… hahaha… hahahahaha.
Namun bila aku duduk termenung, tiba-tiba memori lama menyapa. Rupanya berdiri di khalayak ramai bukanlah benda asing pun pada diriku.
Zaman Sekolah: Era Tekong Nasyid Berwibawa (kononnya)
Sejak Darjah 4 lagi aku dah kena angkat jadi Tekong Nasyid di Sekolah Agama Rakyat Felda Kemasul. Majlis rasmi sekolah? Anugerah Cemerlang? Hari apa pun, asal ada mikrofon, aku lah antara orangnya.
Sampai sekarang aku masih ingat bait-bait lirik nasyid Itu. Kadang-kadang terdetik Juga, "Dulu sedap ke suara aku?”
Aku rasa… boleh tahan jugalah masa tu… hahahaha. Di Sekolah Kebangsaan pula, peluang tak sama. Ramai lagi “talent” lain, jadi aku pun kembali jadi penyokong tegar di belakang tabir.
Dikir Barat 1995: Era Glory Form 4
Masuk Sekolah Menengah Felda Chemomoi, hidup berubah lagi. Tahun 1995, semasa Form 4, aku sertai pasukan Dikir Barat sebagai awak-awak. Kalau zaman sekarang ada “road to final”, kami pun ada versi sendiri.
Zon → Juara
Daerah Bentong → Juara
Negeri Pahang → Juara
Akhirnya melangkahlah kami ke Penang Free School untuk peringkat kebangsaan.
Tema masa itu: “Jauhi Dadah”, semangat kami membara walaupun bukan Top 3. Yang penting, dapat harumkan nama Pahang. Sebelum ke Penang, sempat perform depan MB, Tan Sri Adnan Yaakob (Long Nan). Masa tu rasa macam artis RTM dah lebih kurang.
Zaman University.
Masuk universiti, setiap kali buat assignment berkumpulan, bahagian pembentangan memang secara automatik jatuh ke aku. Tak payah undi, tak payah lantik, semua pandang aku, aku pandang mikrofon. Faham-fahamlah.
2004: Karok THP, Sejarah Awal Kerjaya
Tahun 2004 pula, tahun pertama bekerja di THP. Untuk Family Day di Langkawi, ada pula saringan karaoke. Entah macam mana, aku berjaya lepas saringan dan layak ke final. Perform pula depan Chairman, Board of Directors, CEO dan semua kakitangan.Masa tu rasa macam konsert TV3 hujung Tahun. Walaupun suara aku kalah teruk dengan geng-geng suara emas macam Saiful dan Puan Ros, dapat saguhati pun dah kira bangga dah.
Hahaha.
Zaman Auditor: Karok Sebagai Terapi Jiwa
Zaman auditor lagi la banyak cerita.
Asyik outstation ke Semenanjung, Sabah, Sarawak, sampai Indonesia.Di guest house dan mess estate, selalunya memang ada set karaoke. Budak-budak audit pun apa lagi, masing-masing mula tunjuk bakat terpendam.
Ada yang memang power seperti Hidayat, Azhar. Ada yang amateur tapi yakin seperti Adi, Irwan, Alifi. Ada yang malu-malu kucing, Faizal, Izwan dan ramai lagi. Nyanyi bukan sebab nak jadi artis, tapi nak lepaskan lelah kerja seharian. Yang paling best, suara orang estate Sabah, Sarawak dan Indonesia, memang macam penyanyi professional. Kadang aku rasa, kalau buka label rakaman khas untuk estate pun boleh jadi.
Era HR: Dari Tekong Nasyid ke Emcee Profesional
Bila aku ditarik masuk ke HR, tugasan baru lahir iaitu Jadi tukang cakap, emcee, pengacara apa jua majlis dalaman syarikat. Mula-mula memang ketar lutut.
Tapi bila dah selalu buat, ia jadi sebahagian rutin, macam makan nasi hahahaha. Itu dulu la.
Kini: Aku, Mikrofon & Nostalgia Yang Tinggal
Sekarang, semuanya berubah. Aku dah jarang naik pentas. Dah jarang berucap. Apatah lagi nak “menyumbangkan” suara di depan khalayak.
Suara pun dah tak padu. Nafas pun tak selaju dulu. Keyakinan pun… hmm, biarlah rahsia.
Biar aku jadi seperti sekarang. Masa sudah berubah, dan aku terima dengan senyuman.
Kadang-kadang, kita tak perlu kembali menyanyi di atas pentas.
Cukuplah kenangan lama bernyanyi perlahan dalam hati.
Hahaha.
No comments:
Post a Comment