Hampir setahun aku berhijrah ke sebuah organisasi di Negeri Darul Makmur, sebuah bumi baharu yang menyambutku dengan angin damai dan wajah-wajah yang masih belum sepenuhnya kuhafal. Di belakang sana, lencana lamaku yang hampir dua dekad melekat di dada, kutinggalkan dengan seribu kenangan yang tidak mudah dilunturkan masa. Mana mungkin aku cepat melupakan lambang yang pernah menjadi sebahagian daripada denyut nafasku?
Dalam jarak yang merenggangkan waktu namun tidak memutuskan rasa, kerinduan kepada teman dan ‘lawan’ lama tetap utuh. Ada kalanya, tatkala sepi membuka pintu atau kenangan datang berketuk, aku menyapa mereka melalui lorong-lorong maya, berbual sekadar bertanya khabar dengan mereka yang masih sudi berteman.
Sejak hijrah ini, pelbagai cerita singgah ke telinga, ada yang indah menenteramkan dada, ada juga yang kurang enak menikam nurani. Sama ada melalui sumber daripada teman-teman atau berita yang tersiar di media, semuanya datang silih berganti. Tidaklah aku berhasrat untuk merungkai cerita sensasi, takut-takut ada hati yang terguris tanpa sengaja. Nukilan ini hanya ingin menyentuh tentang pemimpin dan tentang padang tempat kita berpijak.
Di ‘Tempat Lama’, kebanyakan pemimpin yang pernah aku bersama telah pun beredar dari kerusi masing-masing. Ada yang bersara dengan tenang, ada yang ‘di’bersarakan’, dan tidak kurang yang ‘diminta bersara’. Itulah hukum alam, kita merancang sehabis baik, namun esok tetap milik rahsia. Yang pasti, kita hanya mampu mengurus hari ini dan memuhasabah hari semalam dan sebelumnya.
Kata orang tua, lain padang lain belalang, lain lubuk lain ikannya. Padang dan lubuk itu tempatnya, belalang dan ikan itulah ragam dan budayanya. Kini aku berada di padang dan lubuk yang Baharu, dengan hamparan asing yang perlahan-lahan cuba kujijak dan kuselami. Alhamdulillah, syukur atas ruang dan peluang, aku belajar menjiwai denyutnya, merasai nikmat bermastautin di bumi yang belum sepenuhnya aku jelajah ini.
Namun pada hakikatnya, di mana pun letaknya padang dan lubuk, amanah yang kita sandang bukanlah kehormatan untuk dibanggakan. Ia adalah tugas yang berat, menuntut pengorbanan, kesungguhan, dan jiwa yang sentiasa sedar akan tanggungjawabnya.
Rasulullah SAW bersabda “Setiap kalian adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya…” (Hadis Riwayat Bukhari).
Hadis ini mengingatkan kita bahawa setiap insan, Lelaki mahupun Wanita itu adalah pemimpin. Sekurang-kurangnya pemimpin kepada diri sendiri, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berada di bawah jagaan dan bidang amanah kita.
Kata kunci yang harus sentiasa disematkan adalah akauntabiliti iaitu kebertanggungjawaban penuh terhadap setiap tindakan dan keputusan. Bila amanah diberi, maka wajiblah ia ditunaikan dengan sebaik mungkin, walau di padang mana pun kita berdiri dan di lubuk mana pun kita menyelam.
Gaya kepimpinan pula terikat kepada beberapa faktor, Pertama, pengalaman yang dibentuk oleh latar belakang, ilmu dan keyakinan terhadap pengikut. Kedua, kebolehan pengikut, semakin yakin dan bersedia mereka, semakin luas ruang kebebasan yang boleh diberikan. Ketiga, situasi, kerana pemimpin yang baik wajib membaca suasana sebelum melakar hala tuju.
Pemimpin harus menjadi cermin kepada pengikutnya. Seperti acuannya menentukan bentuk kuih, begitu jugalah peribadi pemimpin mencorakkan kecemerlangan yang diharapkan daripada pengikutnya.
Kesimpulannya, buat kita semua yang menggalas gelaran pemimpin, tanpa kecuali. Padang ini milik kita bersama, Lubuk ini rezeki kita bersama.
Maka ayuhlah, khususnya buat diriku sendiri, si ‘belalang dan ikan’ yang masih bertatih, meluruskan langkah, mengukuhkan iltizam, dan mengejar cita-cita bersama. Semoga kita mampu terus menabur bakti di padang dan lubuk yang subur ini.
Salam hormat dari Padang dan Lubuk Subur.
No comments:
Post a Comment