Hujan turun…..
Bukan sekadar titisan dari langit,
Tetapi nukilan pesan yang disuratkan,
Pada gumpulan awan yang redup,
Pada bumi yang menadah bisu.
Hujan menjerit lebat…..
Bagai air mata langit yang tumpah,
Dek kerana dunia lupa untuk tunduk,
Manusia alpa leka untuk sujud,
Mengejar dunia dengan kalut.
Hujan ini bukan bencana,
Tetapi bisikan dalam bahasa rahsia.
Membasuh noda dosa di dedaun,
Membersih debu kotor di jiwa,
Menggugurkan dosa manusia.
Lihatlah dari mata hati,
Rumput yang dahulu layu kini tegak bugar,
Sungai yang kering kini menyanyi galak,
Dan langit, meski kelabu tebal,
Masih setia mencurah Rahmat Maha Esa,
Walau bumi sering lupa bersyukur.
Hujan tidak murka,
Tetapi nada menegur dalam dingin,
Teguran kenyal yang tidak memekik,
Namun ia menusuk,
Teguran yang tidak menampar,
Namun membasah hati yang kontang.
Di kala petir menyambar,
Ianya bukan tanda amarah,
Tetapi ia satu seruan,
Sedarlah wahai insan,
Itulah tanda waktu itu detiknya mendekat.
Syukurilah,
Walau hujan membanjiri lahan,
Walau atap bocor dan tanah mengalir,
Setiap titisnya adalah rahmat,
Rasa dinginnya tanda peluang bertaubat.
Jangan tunggu hadir pelangi baru bersyukur,
Kerana hujan itu sendiri adalah anugerah,
Dalam ribut ada reda,
Dalam gelap ada cahaya hujungnya.
Hujan itu bagaikan syair,
Ditulis tanpa dakwat pena,
Didendang oleh hati yang mengerti,
Bahawa dalam basahnya ujian,
Ada rahmat sebalik tersirat.
Maka bersyukurlah,
Sebelum tanah menjadi kering,
Sebelum langit menjadi bisu,
Sebelum doa menjadi tepu.
Aduhai sang hujan,
Usahlah kuat kau jeritkan duka langit,
Perlahanlah turun, setitis-setitis,
Agar tanah tak luka,
Agar insan tidak dukacita.
Wahai sang hujan,
Tenteramkan amarahmu yang deras,
Kami akui bumi perlu basah,
Namun, usah kau bawa bencana yang rebah,
Jadikan curahanmu itu rahmah, bukan resah.
Kami memujukmu wahai titisan Syurga,
Berzikirlah perlahan dalam tona sederhana,
Bukan menghenyak bumi dengan dentuman,
Kerana ada si anak kecil dalam dakap ibu,
Ada lahan menunggu tuaian,
Ada insan yang berduka di celah dugaan.
Wahai sang hujan,
Jangan jadi badai yang menyesakkan,
Jadilah selimut gebo dingin yang menyegarkan,
Penyejuk hati yang sedang rawan,
Pembersih debu pada dinding iman.
Aduhai sang hujan,
Jika kau perlu bicara,
Bicaralah dengan lembut pada pepohon DxP,
Pada atap quarters yang usang,
Pada jalan yang sempit tanpa gravel penuh,
Kerana kami ingin mendengar pesan Yang Maha Kuasa,
Bukan amukan langit yang menghukum.
Turunlah, wahai hujan, dengan penuh kasih,
Bukan marah yang bengis,
Curahkan dirimu dengan hikmah,
Jauhi kami dari musibah.
Dan tinggalkanlah kami dengan pelangi harapan,
Bukan dengan banjir tangisan.
No comments:
Post a Comment