Monday, 29 December 2025

Papa Zola The Movie : Kita Usahakan Lagi

Pada tanggal 26 Disember lepas, dalam hujung tahun yang redup, anak-anak request dengan mata bersinar ingin menonton “Papa Zola The Movie”. Lalu aku, isteri, dan mereka yang aku cinta, melangkah ke GSC KL East Mall. Sekadar menunaikan permintaan kecil yang hakikatnya mungkin sebesar ‘dunia’ buat mereka.

Sebagai sipnopsisnya, pada aku jalan cerita Filem itu mudah, tapi ada mesejnya. Ia bukan sekadar kisah seorang Bapa yang berusaha keras demi menyara keluarga dengan membuat beberapa kerja dan nekad seorang Bapa yang berusaha membawa keluarga untuk bercuti. Aku tidak mahu ulas plot cerita berkisar Agent Rahsia PAPA hingga usaha melindungi anaknya dari diculik dan usaha menyelamatkan Bumi. 

Namun, aku lebih tertumpu pada gelagat seorang Bapa. Ia adalah potret jiwa, seorang lelaki biasa yang menyimpan sifat luar biasa dalam tenangnya. Seorang Bapa, yang menyarung seribu watak demi kebahagiaan keluarganya. Namun, apa yang benar-benar menyentuhku bukan sekadar plotnya. Ia datang dalam bentuk yang lebih halus, melodi dan lirik lagu yang menyapa tanpa suara tinggi, namun menyentuh dalam dada. Kita hayati liriknya… 

"Jika tidak hari ini
Mungkin minggu depan
Jika tidak minggu ini
Mungkin bulan depan

Jika tidak bulan ini
Mungkin tahun depan
Segala harapan kan datang
Yang kita impikan

Janganlah menyerah dulu
Waktu masih panjang
Ingat doa kita selalu
Yang tak pernah usang

Kita usahakan lagi sayang
Kita usahakan lagi sayang
Yakin waktunya kan datang

"Kita Usaha Lagi", lagu yang kedengaran ringan pada lidah, namun berat pada makna. Seperti titisan hujan yang lembut, tapi menyubur akar yang lama gersang. Melodinya sederhana, tapi seperti angin senja, ia membawa ingatan pulang.

Terima kasih, Papa Zola. Kerana dalam gelak tawa anak-anakku, aku menemui cermin untuk menatap semula siapa aku. Dan untuk semua yang sedang lelah berusaha, jangan menyerah. Waktu masih Panjang, Kita usaha dan usaha lagi, Yakin waktunya akan datang.

Baris demi baris, seperti bisikan lembut seorang ayah kepada anaknya yang hampir putus harapan. Atau seperti doa seorang ibu, yang tidak pernah letih memohon walau malamnya panjang tanpa bintang.

Dan saat itu, aku teringat Arwah Abah dan Mak. Terbayang wajah yang pernah basah dek peluh, bukan kerana kerja semata, tapi kerana cinta. Mereka tidak kaya dengan harta, tapi kaya dengan tekad. Mereka bukan hanya membesarkan anak-anak, tapi menyuburkan harapan, menanam nilai yang kini tumbuh dalam diriku pula.

Dulu, mungkin aku kurang mengerti. Kini, aku adalah bapa. Dan hanya seorang bapa yang tahu, bahawa dalam setiap senyum anak-anaknya, ada air mata yang ditahan. Dalam setiap ketawa mereka, ada tulang belakang yang merintih, tapi tidak pernah rebah.

Kini aku faham, Usaha adalah bahasa kasih yang paling sunyi.  Ia tidak perlu diberi tepukan, cukup sekadar dihargai dalam doa yang diam. Dan bait-bait lagu itu seperti menghidupkan semula semua yang aku hampir lupa bahawa kita ini manusia yang diberi ruang untuk jatuh, bangun, gagal, mencuba, dan usaha lagi.

Kita usahakan lagi, 
Yakin waktunya akan datang.
Kita usahakan lagi, wahai diri…  
Kita usahakan lagi, wahai jiwa…  
Untuk Semua…..

No comments:

Post a Comment